Penyusuan bayi secara eksklusif amatlah digalakkkan kepada bayi yang baharu lahir hinggalah usia mereka genap enam bulan. Namun ibu-ibu juga disarankan supaya terus memberikan susu ibu kepada anak sehingga usia mereka dua tahun. Banyak khasiat dan kebaikan yang boleh didapati daripada susu ibu.
1. Telinga
Fungsi pendengaran anak lebih baik dan cenderung terhindar daripada jangkitan telinga.
2. Mata
Vitamin A dalam susu ibu baik untuk mata anak anda. Ia dapat membantu menajamkan penglihatan si kecil selain mampu melihat dalam pencahayaan rendah. Ia juga dapat membantu anak mengenali warna sejak usia kecil.
3. Rambut
Sehingga usia anak dua tahun, susu ibu masih menyediakan 95 % sumber vitamin A yang diperlukan oleh sel kulit dan rambut si kecil anda. Kandungan 60 % vitamin C yang turut terkandung dalam susu ibu akan dapat membantu anak anda mempunyai rambut yang sihat.
4. Deria rasa
Kandungan zat besi yang tepat dan berkualiti dalam susu ibu mudah diserap oleh badan anak anda. Ia membuatkan deria rasanya lebih sihat dan dapat berfungsi dengan baik. Ini penting untuk meningkatkan selera makan si kecil dan supaya mereka boleh menerima apa sahaja makanan yang ada.
5. Otak
Berdasarkan banyak kajian yang telah dibuat, anak-anak yang minum susu ibu sehingga usia dua tahun mempunyai IQ yang lebih tinggi berbanding anak-anak yang minum susu formula. Bukan sahaja dapat menjimatkan wang, malah anak-anak juga lebih bijak. Ini fakta!
6. Mengeratkan hubungan ibu dan anak
Hubungan rapat yang terjalin antara ibu dan anak ketika menyusu memberi stimulasi untuk kecerdasan intelektual, sosial, emosi, bahasa, musikal dan sebagainya.
7. Sistem imun
Kandungan khasiat yang terdapat dalam susu ibu berubah dari masa ke semasa. Jika pada minggu pertama ia kaya dengan kolostrum yang baik untuk pencernaan bayi. Seterusnya, ia memenuhi keperluan bayi yang hanya bergantung kepada susu ibu. Namun bagi kanak-kanak yang berusia 1 tahun setengah hingga dua tahun, susu ibu berfungsi sebagai daya tahan tubuh dan bukan sebagai makanan lagi.
8. Kulit
Vitamin A dan C yang terkandung di dalam susu ibu membuat kulit anak sihat dan gebu. Bayi dan kanak-kanak yang minum susu ibu juga kurang mengalami masalah alahan dan penghadaman.
9. Tulang
Kandungan kalsium dalam susu ibu merupakan sumber terpenting dan terbesar bagi pertumbuhan dan kekuatan tulang si kecil. Bukan sahaja ia baik untuk tulang anak anda, malah ibu yang menyusu juga dapat mengurangkan risiko kanser payudara dan ovari.
10. Berat badan ideal
Bagi anak-anak yang menyusu susu ibu, risiko mengalami obesiti agak kecil berbanding yang tidak minum susu ibu. Ini kerana nutrisi di dalam susu ibu sudah mencukupi untuk keperluan anak. Ketika bayi, anak-anak biasanya akan berhenti menyusu dengan sendiri apabila sudah kenyang. Ini dapat membantu mereka untuk tidak makan secara berlebihan.
11. Sendi dan otot
Anak-anak yang minum susu ibu biasanya kurang mendapat penyakit otot.
12. Sistem penghadaman
Kanak-kanak yang minum susu ibu kurang mengalami masalah cirit-birit selain kurang berisiko terhadap alahan makanan. Ia juga dapat mengurangkan risiko mendapat apendiks pada usia kanak-kanak.
(Sumber:http://www.majalahpama.my/bayi/laktasi/hebatnya-susu-ibu-12-kebaikan-ini-dinikmati-oleh-anak-1.512056)
BERITA LENGKAP DI HALAMAN BERIKUTNYA
Halaman Berikutnya