Rabu, 20 April 2016

Bayi Mudah Dijangkiti Ruam Semasa Cuaca Panas. Lakukan 5 Langkah Ini!



Cuaca panas sekarang ini memang banyak memberi ketidakselesaan kepada semua orang terutamanya bayi yang masih kecil. Antara risiko yang mudah terkena kepada si kecil akibat cuaca panas adalah masalah ruam.

Ruam sememangnya sangat sinonim dengan bayi dan kanak-kanak berusia bawah dua tahun. Golongan ini paling kerap dijangkiti ruam yang akan membuatkan mereka berasa kurang selesa.

Ini kerana bayi dan kanak-kanak kecil mempunyai kelenjar peluh yang belum matang jadi jika mereka berpeluh terlalu banyak akan menyebabkan pori kulit tersumbat dan peluh tidak keluar seterusnya ruam akan timbul.

Apabila anda perasan ada bintik-bintik ruam merah di bahagian leher, dahi, muka dan celah kelangkang, itu menunjukkan si kecil dijangkiti ruam. Keadaan boleh menjadi semakin teruk apabila anda gemar memakaikan bayi topi, pakaian yang ketat dan tebal. Ruam akan semakin cepat merebak.

Ruam sebenarnya memberikan petanda yang anak anda berada dalam suhu yang terlalu panas. Untuk pengetahuan, jika anda tidak menurunkan suhu badannya, bayi mungkin mendapat masalah lain yang lebih serius seperti strok haba.

Lebih teruk lagi suhu badan bayi berisiko untuk naik lebih tinggi dan dia boleh mengalami nyahhidrat!

Walaubagaimanapun ruam ini tidak menyakitkan anak anda cuma mungkin jika badannya berpeluh dan melekit, kemungkinan dia akan berasa gatal dan pedih. Sudah tentu ia akan membuatkan anak anda mudah merengek dan meragam.

Jadi, jika anda sudah perasan bintik-bintik merah di beberapa bahagian badan anak, segera bertindak untuk mengelakkan masalah menjadi semakin buruk. Ini langkah yang anda mesti buat bagi melegakan ketidakselesaan si kecil!

1. Kurangkan Kepanasan Bayi
Pastikan anak anda tidak terus berada dalam suasana yang panas sama ada ketika dia sedang tidur atau bermain. Beralih ke bilik yang berkipas atau berhawa dingin. Tidurkan bayi dalam bilik yang berangin dan tidak panas pada waktu malam.

2. Pakaian Bersesuaian
Dalam cuaca panas jangan pakaikan bayi anda dengan pakaian yang bertutup, ketat dan daripada fabrik sintetik seperti poliester atau nilon yang memerangkap panas. Fabrik kapas adalah pilihan yang tepat dan selesa. Jika boleh, kerap buka pakaian anak dan biarkan dia seketika dengan hanya memakai lampin sahaja.

3. Sejukkan Badan Bayi
Kawasan kulit yang dijangkiti ruam akan menjadi kemerahan dan gatal sekiranya panas dan berpeluh. Oleh itu pastikan anda sentiasa menyejukkan kawasan tersebut sama ada mengelap dengan tuala basah yang sejuk atau memandikan bayi di bawah pancuran air. Kemudian biarkan kulitnya kering sendiri dan sebolah mungkin tidak perlu mengelap anak dengan tuala.

4. Guna Losyen Calamine
Losyen calamine sememangnya ubat paling mujarab untuk masalah kulit ruam dan kerengsaan.

5. Guna Krim Hidrokortison
Penggunaan krim ini hanya boleh dilakukan atas nasihat doktor atau ahli farmasi sahaja sekiranya masalah ruam menjadi semakin teruk.

Sebaiknya ibu bapa perlu mengelakkan daripada menggunakan sebarang losyen dan salap tanpa nasihat doktor kerana ia ditakuti akan membuatkan ruam menjadi lebih teruk.

Bawalah anak anda berjumpa doktor sekiranya dia demam, suhu badan terus meningkat dan ruam menjadi semakin teruk selepas empat hari.

(Sumber:http://www.majalahpama.my/bayi/perkembangan/bayi-mudah-dijangkiti-ruam-semasa-cuaca-panas-lakukan-5-langkah-ini-1.511114)


BERITA LENGKAP DI HALAMAN BERIKUTNYA

Halaman Berikutnya